Website lucah punya cirita


“Ketika seorang ibu memberitahu saya perihal anak perempuannya yang baik, pulang dari sekolah terus sahaja menyibukkan diri dengan ‘homework’ dan komputernya, tidak ke mana-mana sekalipun hari minggu, saya hanya membalas, baguslah begitu.

Hari ini, tidak semena-mena, ibu ini juga datang dan menangis semahu-mahu,  meminta tolong menyelesaikan krisis serius anaknya. ditangkap disekolah kerana memiliki klip video lucah didalam handphonenya dan menyebarkan kepada kawan-kawannya. Lebih dari itu, didalam komputernya yang saban hari dihabiskan untuk kerja sekolahnya, rupanya dipenuhi gambar dan video lucah yang dimuat turun dari internet!

Saya percaya ini bukanlah kes terpencil untuk dikata tidak berlaku ditempat-tempat lain, dalam keadaan terdapat lebih 370 juta laman web lucah bergelandangan di dalam internet.

Lihatlah betapa seriusnya statistik ini, 2.5  billion email yang dihantar setiap sehari adalah bahan lucah pornografi. (statistik google) Begitu juga malaysia menduduki tempat kelapan didunia dalam pencarian bahan lucah diinternet. (harian metro 24 ogos 2010)

Dalam keadaan begini bagaimana mungkin seseorang yang meluncur ke internet dapat mengelak dari kelucahan ini. Ibarat berjalan diatas padang luas yang dipenuhi tahi kambing, hanya berapa langkah, kita pasti terpijak juga walau dielak sehabis daya.

Boleh sahaja kita mengatakan bahawa ia akan dapat dielak dengan pendidikan, ilmu serta   menghayati moral dan akhlak. Ini hanyalah percakapan ideal yang tidak berlaku.

Mampukah kita menebak bahawa anak kita tidak akan menoleh kepada lelaman lucah hanya kerana mereka sudah dibekalkan dengan ilmu. Mereka tahu perkara haram dan berdosa.

Sekuat mana iman dan ilmu mereka? Bahkan orang dewasalah yang lebih banyak melayari setiap inci lelaman ini. Tiada ilmukah mereka? Tidak tahukah haram halalnya bahan lucah? Sudah tentu mereka lebih tahu. Tetapi kenapa mereka mencari juga?

Manusia dibekal oleh Allah dengan akal dan nafsu. Dibantu lagi dengan syaitan yang merajai manusia. Itulah sebabnya manusia kalah. Bila iman senipis kulit bawang, ilmu setinggi mana pun akan ke situ juga.

Penipu dan perompak bank bukanlah tiada ilmu, bahkan tinggi sekali ilmu mereka tetapi mereka tiada iman.

Seterusnya RUANG DAN PELUANG yang ada. Kita baru sahaja melewatibulan Ramadan yang mulia. Bila sesebuah masjid mengambil pendekatan terawih 20 rakaat. InsyaAllah akan ada jemaah yang sembahyang hingga ke akhir walaupun tidak begitu ramai. Sekiranya masjid memilih 8 rakaat sahaja, berapa orangkah yang akan meneruskan sehingga 20 rakaat berseorangan? Saya berani mengatakan hatta imam dan bilal pun tidak akan melakukannya. Puncanya kerana ruang sudah tertutup.

Masyarakat awam adalah golongan penerima dan bukan pencipta dan perintis. Apa yang kita bentangkan kepada mereka itulah yang diterima. Sekiranya kebaikan yang dihulurkan mereka menurutinya, dan sekiranya kejahatan yang didedah akan ramai juga yang menelannya.

Saya meyakini bahawa apa sahaja bangsa yang berpegang kepada agama atau setidaknya moral sudah pasti memandang jijik dan hina kepada kelucahan. Ia merendahkan martabat manusia, merosakkan ketamadunan dan mencabut garis pemisah antara manusia dan haiwan. Sebaliknya, kalaulah ada manusia yang menyetujuinya, ia adalah seperti mengiktiraf manusia setaraf binatang yang tidak berakal fikiran.

Negara saban hari dipaparkan khabar aneh yang tidak terfikirkan dek akal. Bayi dibuang didalam longkang dan lubang tandas bukan lagi perkara pelik kini. Anak seusia 12 tahun sudah berzina. Pesta seks remaja dan sebagainya seakan fenomena pengetuk telinga dan kemudian, hilang bersama angin lalu.

Tanpa menuding jari kepada sesiapa, apa yang kita telah lakukan untuk membendung perkara ini atau sekurang-kurang mengecilkan kebarangkaliannya.

Kajian yang dilakukan oleh Dr Khaizil Ismail (UKM) merumuskan bahawa 60 peratus remaja berzina adalah disebabkan kerana menonton bahan lucah. (kosmo 19/8/2010). Kajian ini walaupun masih boleh diperbahaskan namun, asasnya ialah pembuangan bayi kerana zina dan kecenderungan berzina bermula dari perkara lucah.

Allah telah berfirman sejak dahulu lagi bahawa “ jangan kamu mendekati zina” (Surah al-Isra’: 32) Berzina itu haram, mendekati pintunya juga haram dan satu pintunya adalah bahan lucah.

Tun Mahathir Mohamad, sejak akhir-akhir ini menyuarakan kebimbangan terhadap kelucahan dalam internet. Dengan hanya menaip satu dua perkataan, anda akan menjumpainya tanpa kepayahan. Beliau mencadangkan kepada PBB supaya diadakan sekatan terhadap bahan lucah di internet. Begitu juga beliau menyarankan para ibu bapa membeli perisian untuk menapis internet dari meracun fikiran anak-anak.

Namun cadangan itu tidak praktikal kerana beberapa sebab :

1 – golongan yang paling banyak melayari internet adalah golongan dewasa dan bukan kanak-kanak.

2 – perisian tersebut tidaklah menjamin kelupusan bahan lucah diinternet kerana ia hanya menyekat bahan lucah dikomputer terbabit sahaja dan memberi laba kepada syarikat perisian.

3 – kaedah sebenar mengelakkan rakyat Malaysia melayari laman lucah ialah dengan mengarahkan pihak ISP (Internet service provider seperti Jaring dan TMnet) untuk menyekat penularan bahan lucah. Ini hanya boleh dilakukan dengan keperihatinan pihak kerajaan. Jika ini dilakukan insyaAllah industri bahan lucah di Malaysia akan lumpuh.

Walaupun idea tersebut tidak praktikal namun keperihatian Tun Mahathir terhadap bangsa adalah terpuji.

Dalam pada itu, rang jaminan msc malaysia (MSC malaysia bill of guarantees) telah digubal dan diluluskan untuk menggalakkan syarikat-syarikat berstatus msc dalam pertumbuhan industri teknologi maklumat. Rang ini memperuntukkan 10 dasar penting. Namun dasar ke-7 berbunyi, iaitu MEMPASTIKAN TIADA TAPISAN TERHADAP INTERNETsepatutnya dikaji dan digunakan dengan berhemah. Kebebasan ini menjadi tiket penting kepada merebaknya kelucahan melampau di dalam internet.

Sekiranya ‘tiada tapisan’ bermaksud setiap perkara yang membangunkan minda dan tamadun manusia, siapa sahaja akan bersetuju dengannya. Tetapi dasar inilah juga yang telah membuka pintu seluas-luasnya kepada masyarakat untuk mengakses sebanyak mungkin kelucahan didalam internet. Lalu saya mencadangkan kepada pihak kerajaan agar mengkaji semula dasar tersebut untuk kepentingan umat 1 malaysia.

Tidaklah dinafikan bahawa kerajaan telah berusaha mengatasi masalah keruntuhan akhlak dan moral, pembuangan bayi, penzinaan dan lain-lain, namun  ia lebih menjurus kepada mengubati penyakit tetapi punca penyakitnya masih merebak. Renunglah, air sungai yang diempang pasti akan kering. Begitulah kelucahan akan berkurangan sekiranya disekat dipintu masuknya.

Arab Saudi telah menapisnya. Anda tidak akan dapat mengakses laman web berbau lucah disana. Kini Indonesia pula menurutinya. Ayuh Malaysia usahlah bertangguh lagi.

Tanpa melihat kepada kemana anda berpihak, kerana kita membicarakan kepentingan ummah, saya menyeru Dato Seri Najib dan kerajaan mengambil tindakan seberapa segera membendung gelaja yang membarah ini. Saya amat yakin rakyat yang punya jiwa yang tulus pasti akan menyokong usaha ini.

Dato’ Seri – di hadapan Allah nanti, seorang ketua akan ditanya tentang usahanya berbuat kebaikan. Berjaya atau gagal, tidak akan diletakkan diatas pundaknya.

Semoga Allah merahmati kita semua.

P/S : saya telah sedaya upaya menulis artikel ini dengan penuh berhemah dengan niat berdakwah agar pemimpin dapat berfikir dan mengubah apa yang sepatutnya. Saya telah  menghantarnya untuk disiarkan di utusan malaysia dan berita harian. namun agak malang ia diabaikan begitu sahaja.

sumber : TKO

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: